Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor, menyindir pihak yang terus-menerus mempersoal meskipun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sedang membantu usaha memulihkan bola sepak Malaysia.
Pandangan tersebut disuarakan tegas oleh DYAM Tunku Ismail ketika mengulas tentang Kongres Luar Biasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berlangsung pada Khamis di salah sebuah hotel di Petaling Jaya.
Kongres berlangsung sempurna dengan semua ahli gabungan FAM telah menyatakan persetujuan untuk meminda serta meluluskan statut badan induk bola sepak negara yang baharu menurut saranan daripada pihak AFC dan FIFA.
Sesi soal jawab tercetus di pertengahan kongres apabila Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar dengan lantang tidak bersetuju dengan cadangan untuk meluluskan pindaan statut tersebut.
Walau bagaimanapun, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John dengan tenang menerangkan dengan lebih lanjut kepada beliau dan semua perwakilan sebelum akhirnya pindaan status FAM ini berjaya diluluskan.
Situasi itu mendapat perhatian Tunku Ismail yang memuat naik kenyataan di laman Instastory mendakwa ada pihak yang tidak boleh terima apabila AFC datang membawa perubahan beserta tangkap layar sesi kongres yang dihadiri Datuk Seri Shahril.
“Nak perubahan tapi apabila AFC campur tangan untuk buat perubahan, tidak boleh terima pula,” tulis DYAM Tunku Ismail di laman Instastory beserta tangkap layar wakil FAS itu.

“Yang tak boleh terima ini semata-mata nak jaga kepentingan peribadi dan kroni,” tambah Baginda.