Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor bersedia tampil bersemuka dengan peminat Harimau Malaya bila-bila masa.
Kesediaan itu dinyatakan DYAM Tunku Ismail bagi menjawab permintaan seorang peminat yang mencadangkan agar satu sesi pertemuan diadakan bersama para peminat bola sepak tempatan.
Pertemuan itu dicadangkan bagi memberi penjelasan lebih terperinci, dipercayai berkenaan isu semasa yang melanda bola sepak negara, khususnya melibatkan 7 pemain Harimau Malaya.
”Mohon Tuanku buat perjumpaan dengan penyokong fanatik Harimau Malaya dan jelaskan dengan lebih teliti,” pinta seorang pengguna media sosial bernama asrulaimn.
Permintaan itu lantas dijawab Baginda yang bersetuju untuk bertemu pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, malah memberi peluang kepada peminat memilih masa serta tempat pertemuan.
Tambah Baginda lagi, lelaki sejati tidak pernah lari daripada bersemuka, namun menurut Tunku Ismail, orang ramai lebih gemar menjadikan pengaruh Baginda sebagai sasaran tanpa mengambil kisah perkara sebenar.
”(Sedia jumpa peminat) bila-bila masa dan dimana-mana sahaja,” tulis DYAM Tunku Ismail dalam satu hantaran di laman X.
”Masa dan tempat anda pilih. Lelaki sebenar tidak akan lari tetapi kebanyakkan bukan kisah apa betul dan benar.”
”Mereka lebih cenderung nak habiskan pengaruh saya dalam industri bola sepak tempatan, itu sahaja,” ujar Baginda lagi.