Ubaidullah Shamsul Dalam Radar Dua Kelab Gergasi Thailand
MakanBola
BG Pathum United FC

Pertahanan muda Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul dilaporkan menarik minat dua kelab gergasi di Liga Thailand.

Kelibat tonggak berusia 21 tahun ini bersama Terengganu pada musim ini telah mencuri perhatian ramai penyokong yang kagum melihat aksi matang mengawal bek Sang Penyu.

Malah, Ubaidullah turut beraksi cemerlang bersama skuad Harimau Malaya apabila dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan ketika debut menentang pasukan Cape Verde Khamis lalu.

Lantaran itu, menerusi perkongsian oleh wartawan The Star, T. Avineshwaran pada Ahad bahawa terdapat minat dari dua buah kelab Tier 1 Thailand terhadap Ubaidullah selepas aksi tempoh hari.

“Selepas aksi cemerlang Ubaidullah menentang Cape Verde, dua kelab dari Liga Thailand (Tier 1) telah menyatakan minat terhapapnya,” lapor T. Avineshwaran.

Untuk rekod, Ubaidullah yang mampu beraksi di posisi bek tengah dan kiri telah merekodkan 35 penampilan, dua gol dan dua bantuan jaringan dalam semua kejohanan musim lalu.

Selain Ubaidullah, dua pemain Sabah iaitu Dominic Tan dan Stuart Wilkin turut pernah dikaitkan dengan perpindahan ke kelab di Thai League sebelum ini tatkala saingan sudah pun berakhir.