Undian bagi menentukan slot suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menyaksikan perlawanan Manchester City dan Real Madrid menjadi tumpuan.
Dengan Erling Haaland mengetuai bahagian serangan Citizens, banyak kelab tidak mahu bertemu dengan mereka di peringkat suku akhir. Tetapi Bayern Munich menjadi batu penghalang kepada anak-anak buah Pep Guardiola jika mahu mara ke separuh akhir.
Ini kerana anak-anak buah Julian Nagelsmann juga ingin melakar kecemerlangan di peringkat Eropah lebih-lebih lagi dengan persaingan sengit merebut kejuaraan Bundesliga musim ini.
Aksi suku akhir ini juga dianggap penting bagi Joao Cancelo yang beraksi menentang majikannya, Manchester City. Cancelo dipinjamkan ke Bayern pada musim perpindahan Januari lepas selepas tidak sehaluan dengan Guardiola.
Sementara Chelsea pula bakal bertemu juara bertahan Real Madrid di peringkat sama. Bagi penjaga gol Thibaut Courtois, ini bermakna dia perlu memekakkan telinganya diejek penyokong Blues bila bertandang ke Stamford Bridge.
Tetapi ia masih satu cabaran sukar buat anak-anak buah Graham Potter untuk mara lebih jauh ke UCL. Dengan Los Blancos mahu mempertahankan kejuaraan mereka, Chelsea bakal diuji hebat di peringkat suku akhir.
Dua lagi aksi suku akhir yang mencuri tumpuan ialah pertemuan Benfica-Inter Milan dan pertemuan dua kelab Itali, A.C Milan dan Napoli.
Dengan Napoli menghuni kedudukan pendahulu Serie A, A.C Milan pastinya mahu mengenakan Napoli dengan memburu trofi UCL buat kali pertama sejak 2007.
Pertemuan Benfica-Inter juga menyaksikan kedua-dua pasukan mempunyai aspirasi Eropah yang tersendiri. Kemenangan ke atas O Glorioso membolehkan mereka menghampiri trofil UCL yang kali terakhir dimenangi pada 2010.
Sementara bagi Benfica pula, mereka berharap untuk tidak kecewa lagi di pentas Eropah. Dengan trofi Eropah kali terakhir dimenangi pada musim 1961-1962, anak-anak buah Roger Schmidt pasti mahu menamatkan kemarau trofi mereka.
Pemenang pertemuan Chelsea-Real Madrid bakal menentang pemenang Manchester City-Bayern Munich di peringkat separuh akhir. Sementara satu lagi aksi separuh akhir bakal menyaksikan pemenang perlawanan A.C Milan-Napoli menentang pemenang perlawanan Benfica-Inter Milan.