Advertisements
UCL: Real Madrid Dihenyak Lagi, Kali Ini Kepada AC Milan
UEFA Champions League
MakanBola
Real Madrid

Real Madrid masih belum dapat keluar daripada badi kekalahan di laman sendiri apabila tewas mengejut kepada AC Milan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu telah menurunkan barisan terkuat termasuk Vinicius Junior, Jude Bellingham dan Kylian Mbappe. Manakala AC Milan mempertaruhkan Alvaro Morata sebagai penyerang utama.

AC Milan tidak perlu menunggu lama untuk mengejutkan ribuan penyokong Madrid di Santiago Barnebeu apabila Malick Thiaw menjaringkan gol seawal minit ke-12 permainan selepas pemain antarabangsa Jerman itu menyudahkan sepakan penjuru,

Ketinggalan satu jaringan, Real Madrid memperkemaskan permainan untuk mencari jaringan penyamaan.

Real Madrid kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-23 hasil sepakan penalti Vinicius Junior. Penalti tersebut dihadiahkan selepas pertahanan AC Milan, Emerson dikesan telah mengasari Vinicius. Kedudukan kini terikat 1-1.

Bekas penyerang Real Madrid, Alvaro Morata kembali meletakkan AC Milan di hadapan pada minit ke-40 selepas pemain antarabangsa Sepanyol itu menyambar peluang kedua selepas rembatan awal Rafael Leao ditepis Andrey Lunin di gawang Real Madrid.

Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Real Madrid membuat dua pertukaran dengan membawa masuk Eduardo Camavinga dan Brahim Diaz.

Vinicius hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-47 namun percubaannya diselamatkan Mike Maignan di gawang AC Milan.

Lunin sekali lagi mempamerkan kualiti seorang penjaga gol apabila cemerlang menyelamatkan tandukan berbisa Rafael Leao pada minit ke-52.

AC Milan akhirnya berjaya mendapatkan jaringan ketiga dalam perlawanan ini apabila pada minit ke-73, Tijjani Reijnders meledak dengan penyudah menarik bagi menewaskan Lunin. AC Milan mendahului 3-1.

Real Madrid seharusnya dapat merapatkan kedudukan selepas Antonio Rudiger menjaringkan gol pada minit ke-81 namun jaringan tersebut dibatalkan kerana pemain sayap, Rodrygo dikesan berada di dalam kedudukan ofsaid.

Kedudukan 3-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat AC Milan sebagai pasukan pelawat.

Real Madrid kini berada di kedudukan ke-17 Liga Juara-Juara Eropah dengan mengumpul 6 mata selepas 4 perlawanan manakala AC Milan turut mengumpul mata yang sama dan menduduki tangga ke-18.