Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mendesak Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino meletak jawatan susulan pembatalan pelan kontroversi Piala Dunia.
Daily Mail melaporkan tuntutan itu dikemukakan badan induk bola sepak Eropah itu selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan bekas Setiausaha Agung UEFA itu.
“”Kita tidak boleh berterusan begini dengan skim rahsia dengan jangka masa yang singkat, direka oleh individu yang tidak dikenali dan memberi manfaat yang meragukan kepada permainan.
“Kita mesti mengenal pasti mereka yang terlibat dan meminta mereka bertanggungjawab.Dalam beberapa hari dan minggu akan datang, UEFA akan bekerjasama dengan negara ahlinya dan dengan kerjasama erat dengan konfederasi lain untuk merenungkan bagaimana perkara ini berlaku dan merangka pelan bagi memastikan ia tidak boleh berlaku lagi.
“Semakan itu haruslah menyeluruh dan kembali kepada asas. Tiada pilihan yang harus diketepikan. Kepimpinan FIFA semasa bukan sahaja telah kehilangan keyakinan UEFA tetapi juga ramai ahli keluarga bola sepak yang lain,” kata UEFA dalam satu kenyataan.
Siri kontroversi yang menyelubungi Infantino sejak kebelakangan ini dilihat boleh menjadi pendorong untuk MA melancarkan undi tidak percaya terhadap beliau.
Proses tersebut hanya memerlukan sokongan 46 negara. Meskipun UEFA tidak menyatakan pendirian berhubung proses ini, 55 negara ahli dalam badan induk itu dilihat sudah cukup untuk menggerakkan proses undi tidak percaya.
Sekiranya situasi itu berlaku, satu kongres tergempar FIFA perlu diadakan bagi membincangkan usul undi tidak percaya. Selain prosedur, penentang Infantino perlu mengemukakan calon alternatif yang berkaliber sebagai pengganti beliau.
Sekiranya itu tidak berlaku, penentang Infantino perlu mengemukakan calon untuk menentang beliau dalam Kongres Pemilihan FIFA. MA diberi tempoh sehingga 18 November ini untuk mengemukakan calon sebelum kongres pemilihan diadakan pada Mac tahun hadapan di Rabat, Maghribi.