Advertisements
UEL: Man Utd Jatuh Ke Tangga 21 Selepas 3 Aksi Hambar
Eropah
MakanBola
Manchester United

Selepas mengharungi tiga perlawanan Liga Europa UEFA (UEL), Man Utd kini berada di tangga ke-21 liga UEL.

Hal ini berlaku selepas The Red Devils merekodkan keputusan seri buat kali ketiga dalam kejohanan itu. Kali ini, giliran Fenerbahce dan bos lama mereka, Jose Mourinho yang mencuri mata daripada United.

United pada awalnya mendahului menerusi pemain perancang Denmark, Christian Eriksen pada minit ke-15. Walau bagaimanapun, Youssef En-Nesyri memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 menerusi gol pada separuh masa kedua.

Aksi ini juga turut menyaksikan Mourinho diarah keluar padang oleh pengadil Perancis, Clement Turpin. Ini selepas pengurus Portugal itu berang dengan beberapa keputusan yang dibuat Turpin.

United turut bernasib malang apabila Antony terpaksa diusung keluar akibat kecederaan dalam perlawanan sama.

Selain Fener, United turut diikat 1-1 dengan FC Twente. Manakala gol lewat Harry Maguire memastikan United mengikat FC Porto 3-3 pada awal pagi 4 Oktober.

Meskipun berada di tangga ke-21, United masih berpeluang untuk mara ke fasa playoff pusingan seterusnya. Pada masa sama, prestasi pasukan itu perlu ditambah baik jika ingin mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Ini kerana mengikut kedudukan terkini liga, Tottenham Hotspur, Ajax Amsterdam, Anderlecht, Galatasaray, Eintracht Frankfurt, Athletic Bilbao dan FC Midtjylland berada dalam kelompok teratas liga. Kelompok ini yang mendapat kelayakan terus ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Seandainya United gagal merekodkan kemenangan lagi, mereka berpotensi diheret ke kelompok terbawah liga UEL. Jika berada dalam kelompok ini selepas aksi kelapan UEL, The Red Devils perlu mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan.

Salah satu kelab yang berada dalam kelompok itu ketika ini ialah kelab yang dimiliki pemegang saham minoriti United, Sir Jim Ratcliffe iaitu OGC Nice. Nice ketika ini berada di kedudukan ke-32.