Advertising
UEL: Manchester United Ke Pusingan 16, Tundukkan FCSB
MakanBola
Manchester United
Sponsors

Manchester United mara ke pusingan 16 terbaik Liga Europa UEFA (UEL) apabila menewaskan wakil Romania, FCSB dalam aksi terakhir liga UEL.

United memerlukan satu lagi kemenangan selepas menewaskan Rangers dalam aksi ketujuh liga UEL. FCSB turut berkongsi matlamat sama kerana mahu berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik liga UEL.

Ad

Tyrell Malacia, Kobbie Mainoo, Christian Eriksen, Toby Collyer dan Altay Bayindir dipilih dalam kesebelasan utama United. Florin Tanase mengetuai jentera serangan FCSB.

Separuh masa pertama menyaksikan FCSB hampir mendahului pada minit ke-11 menerusi Mihai Popescu. Malangnya, percubaan beliau tidak mengenai sasaran.

Ad

Lapan minit selepas itu, Mainoo pula berpeluang meletakkan The Red Devils di hadapan. Percubaan pemain tengah berusia 19 tahun itu melepasi palang selepas menerima hantaran Lisandro Martinez.

Ad

Kedua-dua pasukan terus bergelut mencari gol pendahuluan. Keadaan ini memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Ad

Bersambung pada babak kedua, pengurus United, Ruben Amorim memasukkan Amad Diallo dan Alejandro Garnacho untuk menambah sengat di bahagian serangan.

Pengurus FCSB, Elias Charalambous pula memasukkan Baba Alhassan bagi memperkuatkan jentera tengah mereka daripada dirobek pelawat.

Kemasukan dua pemain itu menyaksikan United hampir mendahului pada minit ke-47. Garnacho hampa apabila percubaannya terkena tiang gol.

Gol pendahuluan yang dicari-cari akhirnya muncul pada minit ke-61 menerusi Diogo Dalot. Mainoo yang tidak dikawal melakukan hantaran yang disudahkan Dalot menewaskan penjaga gol tuan rumah, Stefan Tarnovanu.

Tiga minit selepas itu, Daniel Birligea hampir menyamakan kedudukan buat FCSB. Birligea hampa apabila percubaannya sekadar singgah di palang dengan percubaan susulan Tanase tersasar.

Tatkala FCSB terus mengasak, giliran Mainoo pula mencipta nama sebagai penjaring. Beliau mudah menyempurnakan hantaran Garnacho bagi memastikan United memiliki kelebihan 2-0.

Gol tersebut memastikan The Red Devils menamatkan kempen liga UEL di tangga ketiga dengan 18 mata. Ini membolehkan mereka layak secara automatik ke pusingan 16 pasukan terbaik.

FCSB pula menamatkan kempen liga UEL di tangga ke-11 dengan 14 mata. Meskipun begitu, mereka layak ke pusingan play-off di mana mereka kini menanti siapa lawan mereka di pusingan berkenaan.

Undian pusingan play-off dan kalah mati bakal diadakan pada 31 Januari 2025 di Nyon, Switzerland bagi menentukan siapa lawan yang dihadapi kedua-dua pasukan di pusingan seterusnya.

Sofascore memilih Mainoo sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.5. Beliau mengatasi Martinez dan Tarnovanu yang masing-masing meraih 8.0 dan 7.9.

Selepas ini, United akan berdepan Crystal Palace pada 2 Februari. FCSB pula bakal berdepan CFR Cluj pada 3 Februari.