Pengendali baharu Selangor FC, Katsuhito Kinoshi bakal menghadapi ujian pertamanya dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Kinoshi dipilih sebagai pengganti pengendali sebelumnya, Nidzam Jamil. Ini menjadikan beliau pengendali keenam Selangor dalam enam musim selepas B. Sathianathan, Karsten Neitzel, Michael Feichtenbeiner, Tan Cheng Hoe dan Nidzam.
Sebelum ini, Kinoshi pernah menggalas tugas sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan Serbia. Beliau juga pernah menggalas peranan sebagai jurulatih kecergasan dan penolong jurulatih untuk kelab Omiya Ardija, Yokohama FC, Nagoya Grampus dan Guangzhou FC.
Malah, jurulatih berusia 60 tahun itu turut menghasilkan sebuah buku berjudul Elite Self-Realization Skills: Insights from a Professional Coach for Top Athletes and Business People pada 2008.
Sentuhan Kinoshi ditagih untuk mengembalikan Merah Kuning kembali di atas landasan kecemerlangan. Selepas Nidzam mengundur diri pada akhir Oktober lalu, Selangor hanya meraih satu kemenangan, satu kekalahan dan satu keputusan seri.
Ini termasuk aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia di mana Merah Kuning diikat Sri Pahang 1-1 di Temerloh pada 23 November lalu.
Selepas kembali ke peringkat Asia buat kali pertama sejak 2016, Selangor menunjukkan prestasi baik dalam Kumpulan H ACL2. Selangor merekodkan dua kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan selepas empat perlawanan.
Merah Kuning kini berdepan misi hidup mati apabila berdepan Muangthong United pada 28 November ini. Ini kerana kemenangan saja yang dapat menjamin kedudukan mereka sebagai naib juara Kumpulan H.
Menariknya, aksi ini juga merupakan aksi pertama Kinoshi sebagai pengendali Selangor di Stadium MBPJ.
Meskipun Kinoshi sedar The Kirins merupakan satu pasukan yang patut dihormati, Merah Kuning sudah bersedia untuk meraih tiga mata di hadapan penyokong sendiri.
“Saya bangga untuk berjuang dengan pemain Selangor. Kita akan dapat lihat aksi yang baik esok. Mereka menang tiga perlawanan terakhir dan kita perlu memberikan saingan terbaik kepada mereka kerana Muangthong merupakan pasukan yang kuat.
“Kita tidak kisah tentang sistem yang bakal digunakan oleh lawan. Kami (Selangor) hanya fokus kepada persiapan kami kerana pasukan memiliki ramai pemain berkualiti,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Kelibat Ronnie Fernandez, Ali Olwan dan Alvin Fortes dijangka ditagih Kinoshi untuk merobek gawang Muangthong.