Ulasan Bola Sepak Azurin Mazlan Terima Pujian Orang Ramai
MakanBola
Sabah FA Women’s Team

Kepetahan penjaga gol Malayan Tigress, Nurul Azurin Mazlan membuat ulasan bola sepak dalam perlawanan Piala Dunia baru-baru ini mendapat pujian ramai pengguna media sosial.

Ini selepas seorang pengguna Facebook bernama Mizie Mubarak terpegun dengan kepetahan penjaga gol berusia 26 tahun itu membuat ulasan untuk perlawanan Tunisia menentang Jepun.

Kepetahan Azurin membuatkan Mizie tertanya-tanya identiti beliau sebagai pengulas jemputan untuk saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM). Ini kerana ulasan yang dibuat penjaga gol skuad wanita Sabah itu padat dan penuh dengan maklumat.

“Siapa nama pengulas perempuan ini? Baguslah dia bagi ulasan perlawanan Jepun menentang Tunisia ini. Ayat dia tersusun molek, tidak tergopoh-gapah nak katakan apa yang penonton pun sudah sedia tahu.

“RTM dapat mana ini pengulas berkaliber begini? Baik dari segi taktikal dan sejarah, (pengulas) perempuan ini boleh ulas dengan baik,” katanya.

Pandangan Mizie turut dipersetujui ramai pengguna lain di ruang komen. Seorang pengguna bernama Mohd Safwan Bukhari menyifatkan Azurin bukan saja petah tetapi sudah membuat persediaan cukup untuk perlawanan itu.

“Setuju, sangat petah. Buat kerja rumah gaya dia. Harap lebih banyak lagi (ulasan sebegini),” katanya.

Seorang lagi pengguna bernama Nicerule Fivecell pula melihat Azurin memiliki bakat terpendam sebagai pengulas. Dia percaya jika bakatnya terus diasah, beliau mampu mencapai tahap pengulas sukan legenda seperti Allahyarham Datuk Hasbullah Awang dan Datuk Rahim Razali.

“Bakat terpendam, Nurul Azurin Mazlan. Sambung belajar dik, separuh masa. Boleh pergi jauh dalam industri sukan. Jadi pengulas sukan macam arwah Hasbullah Awang dan Rahim Razali,” katanya.

Azurin antara barisan pengulas jemputan yang dipanggil untuk liputan Piala Dunia RTM. Meskipun mendapat pujian ramai, beliau tetap merendah diri dan mahu terus belajar agar dapat menjadi pengulas yang lebih baik.