Juara K-League 1, Ulsan Hyundai dijangka berdepan masalah apabila turun menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dalam aksi keempat Kumpulan I hari ini.
Ini kerana peledak utama mereka dari Sweden, Gustav Ludwigson dilaporkan mengalami kecederaan dan tidak cergas untuk perlawanan hari ini.
Perkara ini didedahkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam semasa meninjau sesi latihan The Tigers semalam.
Berita ini bakal memberi tamparan hebat kepada jurulatih Ulsan, Hong Myung-bo. Ini kerana Ludwigson berupaya beraksi bukan saja sebagai penyerang utama tetapi sebagai pemain sayap.
Musim 2023 menyaksikan Ludwigson menyumbat lapan gol dan tiga bantuan gol dalam semua kejohanan.
Ini termasuk dua gol yang membantu The Tigers mengalahkan Harimau Selatan 3-1 dalam aksi ketiga Kumpulan I pada 24 Oktober lalu.
Dengan bekas pemain Hammarby itu terpaksa berehat, Myung-bo dijangka menggunakan Martin Adam sebagai peledak utama Ulsan.
Adam dijangka bakal menguji barisan pertahanan JDT dari segi fizikal. Ini kerana beliau memiliki ketinggian 1.91 meter – satu aset yang berguna dalam situasi bola mati.
Selain itu, penyerang Hungary itu juga sudah meledakkan 10 gol dalam semua kejohanan. Ini termasuk hatrik yang diciptanya ke atas BG Pathum United pada 19 September lalu.
Myung-bo berharap ketiadaan Ludwigson tidak menjejaskan misi memburu kemenangan ke atas JDT di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.