Sekumpulan penyokong Arsenal malu besar apabila tersilap menyasarkan hotel yang didakwa digunakan sebagai hotel penginapan Manchester City.
Manchester Evening News melaporkan sekumpulan penyokong Arsenal bertindak menyalakan bunga api di luar Marriott Hotel, Waltham Abbey pada jam 2.00 pagi.
Mereka berharap tindakan tersebut dapat menyukarkan City apabila turun menentang Tottenham Hotspur pada 15 Mei lalu. Malangnya, tindakan mereka itu bersifat sia-sia.
Ini kerana semua pemain dan staf kejurulatihan The Citizens tidur di kediaman masing-masing di Manchester, 321 kilometer dari lokasi hotel yang dinyatakan.
Mengikut perancangan kelab, City memang akan bergerak ke London pada hari perlawanan memandangkan perlawanan berlangsung pada jam 8.00 malam (3.00 pagi waktu Malaysia).
Percaturan itu membantu The Citizens menghampiri kejuaraan liga buat kali keempat berturut-turut dengan membenam Spurs 2-0. Dua gol City disumbang oleh penjaring terbanyak liga, Erling Haaland.
Insiden ini tular di media sosial dengan ramai penyokong melihat tindakan kumpulan ultras The Gunners itu sebagai tidak bijak.
Insiden tersebut turut mendapat perhatian bek kanan City, Kyle Walker. Bek kanan England itu menyifatkan perkara tersebut langsung tidak mengganggu tidur mereka.
“Malam semalam, saya tak boleh tidur. Mereka cuba nyalakan bunga api tetapi kami tiada di situ (Marriott Hotel), mereka terlepas kami. Saya tak boleh bayangkan perasaan (mereka) bila kami mendahului 2-0,” katanya kepada Metro.
City kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan ke atas West Ham United pada Ahad ini untuk mengesahkan kejuaraan liga untuk musim 2024/25.