Unbeatable: JDT Cipta Rekod Baru Dunia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah baharu dunia selepas berjaya memecahkan rekod 108 perlawanan tanpa kalah dalam saingan liga, malam ini.

Kejayaan bersejarah itu hadir selepas Harimau Selatan menewaskan Kuching City 3-0 dalam aksi pembukaan Liga Super Malaysia 2026/2027 yang turut menemukan kedua-dua pasukan dalam perebutan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim.

JDT sebelum ini sudah menyamai rekod dunia tersebut selepas mencatatkan 108 perlawanan liga tanpa kekalahan berturut-turut, sekali gus menyamai pencapaian kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas.

Namun, kemenangan ke atas Kuching City menyaksikan Harimau Selatan akhirnya melepasi angka berkenaan untuk bergelar pemegang rekod dunia baharu dengan 109 perlawanan liga tanpa kalah.

Lebih luar biasa, rentetan tersebut bermula sejak April 2021 selepas JDT kali terakhir tewas dalam saingan liga ketika ditundukkan Terengganu FC 0-1.

Sejak kekalahan tersebut, JDT tidak lagi merasai kekalahan dalam saingan Liga Super dan terus mendominasi pertandingan domestik musim demi musim.

Aksi malam ini menjadi detik yang cukup istimewa apabila Stadium Sultan Ibrahim menjadi saksi kepada JDT melangkaui rekod yang bertahan selama lebih tiga dekad.

Dalam aksi tersebut, Marcos Guilherme terlebih dahulu meletakkan JDT di hadapan sebelum Oscar Arribas serta Shahab Zahedi melengkapkan malam gemilang jaguh tanah air itu dengan kemenangan 3-0 ke atas Kuching City.

Keputusan itu bukan sahaja memberikan JDT permulaan sempurna dalam kempen Liga Super 2026/2027, malah melengkapkan penantian mereka untuk memecahkan rekod dunia yang sudah disamai sebelum ini.

Kini, rekod tersebut bukan lagi milik ASEC Mimosas apabila JDT secara rasmi mencatatkan rentetan tanpa kalah terpanjang dalam sejarah saingan liga dengan 109 perlawanan.

Satu lagi sejarah telah ditulis JDT dan selepas ini, angka tersebut hanya akan terus meningkat selagi Harimau Selatan tidak tumbang.