Kelab gergasi Filipina, United City FC membuat kejutan dengan menarik diri daripada saingan Philippines Football League (PFL) musim 2024/25.
ASEAN Football melaporkan kelab yang diberi jolokan The Golden Boys itu berbuat demikian untuk membantu proses pertukaran kelab itu ke Clark, satu kawasan di tengah Luzon.
Bagi menjayakan usaha berkenaan, United City bakal menggunakan bajet mereka untuk membina kemudahan bola sepak di kawasan berkenaan.
Ini bukan kali pertama United City bertindak menarik diri daripada saingan PFL. The Golden Boys pernah melakukan perkara sama selepas tamat separuh pertama musim 2022/23.
Perkara itu berlaku disebabkan kegagalan firma pelaburan dari Singapura, Riau Capital Live (RCL) melunaskan bayaran yang dijanjikan pada Oktober 2022.
Keadaan ini menyebabkan United City terpaksa melepaskan barisan pemain dan staf pasukan pada ketika itu. Isu ini juga menyebabkan pihak kelab membawa kes pertikaian mereka dengan RCL ke mahkamah.
United City cukup dikenali kerana pernah bergelar juara PFL sebanyak empat kali dari 2017 hingga 2020. Pasukan itu juga menjadi pasukan pertama layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Antara pemain yang pernah mewarnai Liga Malaysia (Liga M) bersama pasukan itu ialah bekas pemain import Penang FC, Curt Dizon.