Usaha dalam diam yang dilakukan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor buat Harimau Malaya hampir menjadi kenyataan.
Baginda dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan mengenai usaha untuk mendapatkan pemain warisan buat pasukan kebangsaan.
DYAM Tunku Ismail juga berharap sokongan dan bantuan daripada pihak kerajaan dan juga Kementerian Belia dan Sukan untuk memastikan perkara ini menjadi kenyataan.
“Kami telah mengenal pasti 6-7 pemain warisan untuk pasukan Harimau Malaya. Diharapkan kerajaan Malaysia dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia.
“Ini agar mereka dapat bermain untuk Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2027 mulai bulan Mac ini. Mustahak Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan dengan keputusan yang positif,” ujar DYAM Tunku Ismail di laman X.
Usaha itu semakin hampir menjadi kenyataan selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya iaitu Rob Friend mengumumkan mengenai kehadiran 4 pemain warisan dalam tempoh terdekat.
“Proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain warisan dari Belanda kini berada di peringkat akhir. Tiga lagi pemain juga dalam proses mendapatkan kerakyatan.
“Kami berharap ingin mengambil langkah yang cemerlang apabila Kelayakan Piala Asia 2027 bermula pada Mac.
“Bukan itu sahaja, pasukan kebangsaan juga bakal mempunyai pilihan yang lebih luas dengan pemain-pemain warisan ini sekaligus meningkatkan peluang bagi aspirasi kami untuk membawa Harimau Malaya ke peringkat seterusnya,” jelasnya kepada FA Malaysia.
Karisma dan kepimpinan yang dimiliki oleh DYAM Tunku Ismail sudah pasti meyakinkan pemain warisan ternama Eropah untuk bersama-sama menyertai revolusi Harimau Malaya.
Persiapan ini bagi memastikan skuad negara bermula baik bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac ini.