Perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 Amerika Selatan sentiasa menjanjikan kontroversi dan kelucuan. Dalam perlawanan Chile menentang Argentina, pembantu pengadil menggunakan bendera DIY sebagai bendera ofsaid. Untuk perlawanan Brazil menentang Ecuador, penjaga gol Alisson dilayangkan kad merah sebanyak dua kali tetapi dibatalkan oleh VAR!
Jika tidak kerana keputusan VAR, penjaga gol Liverpool itu akan menyertai penjaga gol Ecuador, Alexander Dominguez dan bek kanan Tottenham, Emerson Royal di bilik persalinan. Dominguez dibuang padang selepas kakinya terkena leher penyerang Atletico Madrid, Matheus Cunha. Sementara Royal pula dilayangkan kad merah kerana mengutip dua kad kuning.
Selepas Dominguez dihalau keluar oleh pengadil Wilmar Roldan pada minit ke-15, Selecao menyangka mereka mempunyai kelebihan. Bagaimanapun, lima minit selepas itu, giliran Royal pula dibuang padang oleh pengadil dari Colombia itu.
Jurulatih Brazil, Tite pasti menyangka nasib Brazil menjadi lebih malang pada minit ke-26. Ini selepas Alisson mengasari bekas penyerang West Ham, Enner Valencia. Pada awalnya, Roldan memutuskan bekas penjaga gol AS Roma itu patut dibuang padang. Tetapi selepas diminta melihat ulang tayang insiden oleh VAR, pengadil Colombia itu hanya mengenakan kad kuning kepada Alisson.
Lega dengan keputusan Roldan dan dengan Brazil di hadapan menerusi Casemiro, Tite mengeluarkan Philippe Coutinho dan memasukkan Dani Alves untuk mempertahankan kedudukan mereka. Bagaimanapun, Ecuador berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-75 menerusi pemain tengah Santos Laguna, Felix Torres.
Menjelang minit-minit terakhir perlawanan, Brazil sekali lagi menyangka mereka akan bermain dengan sembilan orang pemain. Ini selepas Alisson didakwa menjatuhkan Angelo Preciado dalam kotak penalti. Akibatnya, Ecuador dianugerahkan sepakan penalti dan penjaga gol Reds itu dibuang padang buat kali kedua.
Tetapi Roldan sekali lagi diminta VAR untuk menyemak semula insiden berkenaan di skrin tepi padang. Semakan mendapati bekas penjaga gol Internacional itu sempat mendapatkan bola sebelum menjatuhkan Preciado. Lantas, Roldan membatalkan keputusannya dan Alisson kekal di atas padang sehingga wisel penamat ditiupkan.