Kemenangan besar 4-1 Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas pasukan Kedah Darul Aman FC tempoh hari nyata menggembirakan penyokong Harimau Selatan itu. Lebih-lebih lagi pertembungan kedua-dua pasukan ini acap kali dihiasi dengan keadaan panas di dalam dan luar padang.
Bekas pemain Kedah, Syafiq Ahmad menjadi duri dalam daging buat bekas kelabnya itu dengan berjaya meledak dua gol manakala dua gol lagi dijaringkan oleh pemain import JDT, Bergson da Silva.
Namun disebalik kemenangan besar yang dicipta JDT itu, telah tular satu video di aplikasi Tiktok yang memperlihatkan tingkahlaku lucu dari Bergson.
Dalam video tersebut, permainan sedang dihentikan kerana pemain Kedah sedang terduduk dan menunggu rawatan dari pasukan medik. Selepas pegawai medik masuk untuk memeriksa pemain Kedah tersebut, Bergson mencapai satu botol air di dalam beg medik. Namun Bergson hanya menghidu dan meletakkan semula botol tersebut di dalam beg.
Umum mengetahui, dalam perlawanan yang menemukan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Aman minggu lalu, Bergson hanya mampu beraksi 45 minit saja selepas dilayangkan kad merah. Jadi setiap gerak-geri penyerang dari Brazil ini sering menjadi perhatian.
Bergson kini merupakan pendahulu senarai penjaring terbanyak dengan 27 gol dan boleh dikatakan anugerah kasut emas akan menjadi milik beliau selepas jauh meninggalkan pencabar-pencabar yang lain.