Vietnam ‘Baham’ Bangladesh, Amaran Awal Buat Malaysia
MakanBola
Vietnam FF

Vietnam berada dalam momentum terbaik sebelum bertemu Harimau Malaya apabila membelasah Bangladesh dalam aksi persahabatan di Hanoi pada Khamis.

Kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh ini menjadi suntikan moral buat Vietnam menjelang aksi menentang Malaysia dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 minggu hadapan.

Jaringan pembukaan Vietnam terhasil menerusi gol sendiri pertahanan muda Bangladesh, Zayan Ahmed seawal minit ke-8 untuk menceriakan penyokong tuan rumah di stadium.

Selang 10 minit kemudian, Pham Xuan Manh menggandakan kelebihan buat Vietnam selepas bijak menyudahkan peluang yang gagal dinafikan penjaga gol Bangladesh, Hasan Pritom.

Nguyen Hai Long tidak melepaskan peluang untuk mencatat nama selaku penjaring apabila tonggak tengah Ha Noi FC itu menyumbat gol ketiga Vietnam di minit ke-38 sebelum rehat.

Aksi di Stadium Hang Day berakhir dengan kemenangan 3-0 memihak Vietnam, sekali gus menjadi pemangkin semangat sebelum turun menanti Malaysia di Nam Dinh pada 31 Mac ini.