Selepas Nguyen Xuan Son, juara ASEAN Championship 2024, Vietnam bakal mendapat dua lagi pemain naturalisasi.
ZNews melaporkan Pahlawan Bintang Emas sibuk melengkapkan proses naturalisasi membabitkan dua pemain iaitu Jason Quang-Vinh Pendant dan Hendrio da Silva.
Perkara ini turut disahkan jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik apabila ditanya tentang prospek kedua-dua pemain itu. Jurulatih Korea Selatan itu memaklumkan beliau bersedia memanggil mereka sekiranya proses naturalisasi mereka berjaya dimuktamadkan.
“Sekiranya mereka sudah mendapat kerakyatan (Vietnam), saya gembira untuk memanggil (mereka menyertai skuad Vietnam),” katanya.
“Walau bagaimanapun, jika mereka mahu beraksi untuk Vietnam, mereka mesti menunjukkan nilai mereka, kasih sayang, dedikasi dan sedia berkorban untuk pasukan. Jika mereka boleh melakukannya, saya sedia memberi peluang.”
Kehadiran dua pemain ini dilihat menambah lagi kekuatan Vietnam menjelang pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang membuka tirainya pada Mac ini.
Pahlawan Bintang Emas berada dalam Kumpulan F bersama Malaysia, Laos dan Nepal. Vietnam bakal membuka kempen menentang Laos pada 25 Mac ini.
Sebarang perancangan Sang-sik menentang Million Elephants perlu direncana tanpa kelibat Xuan Son. Ini kerana penyerang berdarah Brazil itu perlu berehat panjang akibat kecederaan serius dalam saingan final ASEAN Championship 2024.