Wan Kuzain Ledak Gol Cantik Di US
MakanBola
Sporting JAX

Selepas meledakkan gol cantik bersama Harimau Malaya dalam saingan ASEAN Hyundai Cup, pemain tengah negara, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal kembali menemui sentuhan penyudah di Amerika Syarikat (US).

Kini, giliran Birmingham Legion pula menjadi mangsa sentuhan berbisa pemain tengah berusia 27 tahun itu. Gol cantik Kuzain dicipta buat Sporting JAX dalam aksi terbaru USL Championship menentang Birmingham.

Pada awalnya, tuan rumah mendahului menerusi gol Ronaldo Domus pada minit ke-55. Penyerang Finland, Emil Jaaskelainen kemudiannya menyamakan kedudukan dua minit selepas itu.

Kuzain yang masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua kemudiannya meledakkan rembatan separa voli yang menewaskan penjaga gol Birmingham pada minit ke-75. Video gol itu turut dikongsikan Harimau Abroad.

Romario Williams kemudiannya menyamakan kedudukan sekali lagi buat tuan rumah pada minit ke-92. Bekas bek tengah Liverpool, Danny Wilson muncul wira dengan menanduk gol kemenangan pada minit ke-101.

Apabila ditanya tentang gol berkenaan, Kuzain memaklumkan beliau memanfaatkan sepenuhnya pengalaman bersama Harimau Malaya sepanjang kempen peringkat kumpulan ASEAN Hyundai Cup.

Beliau percaya pengalaman itu membantu beliau mencipta detik indah bersama Sporting JAX. “Ia satu tempoh tiga hingga empat minggu yang menakjubkan (di Malaysia),” katanya selepas perlawanan.

“Saya cuma mahu membawa semua pengalaman itu di sini (untuk Sporting JAX) dan ianya terbukti membantu pada malam ini.”

Selepas ini, Sporting JAX akan menentang Brooklyn FC di Maimonides Park pada 30 Ogos ini.