Pemain St Louis City FC, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal akui mengetahui seseorang yang memiliki keupayaan luar biasa di posisi tengah.
Nama Wan Kuzain sememangnya tidak asing bagi peminat Harimau Malaya apabila pemain kelahiran Amerika Syarikat ini beberapa kali dilaporkan semakin hampir untuk mewakili Malaysia.
Malah, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Datuk Haji Hamidin Mohd Amim pernah mendedahkan bahawa Wan Kuzain bakal memperoleh pasport sebaik pulih dari kecederaan.
“Sepatutnya Pestabola Merdeka, Wan Kuzain dah sertai kem Malaysia. Beliau telah menghubungi saya beberapa bulan lalu namun nasib tidak baik kerana Wan Kuzain sedang cedera.
“InsyaAllah selepas pulih dari kecederaan, dia akan datang, dapat pasport dan bermain untuk Malaysia,” jelasnya ketika ditemui di Wisma FAM sebelum ini.
Selain itu, umum turut mengetahui bahawa Kuzain memiliki adik lelaki, Wan Kuzri yang pernah dipanggil menyertai kem latihan bersama skuad B-19 tahun di bawah kendalian Brad Maloney.
Menerusi satu hantaran di laman X, Kuzain berasa kagum dengan persembahan positif yang dipamerkan oleh Wan Kuzri sepanjang musim ini bersama pasukannya, Akron Zips.
Rasa kagum itu membuatkan beliau sempat mempromosikan Kuzri kepada pasukan yang ingin merekrut pemain di posisi nombor 6, 8 dan 10 yang sinonim dengan pemain tengah.
”Siapa perlukan pemain di posisi nombor 6, 8 dan 10? Saya tahu seseorang yang tersedia,” ujar Wan Kuzain beserta satu pautan video aksi adik beliau, Wan Kuzri.
Di dalam klip video berkenaan menyaksikan sorotan aksi Wan Kuzri dan Akron Zips mengawal posisi tengah dengan tenang selain memiliki keupayaan melakukan hantaran dan meledak jaringan.
Wan Kuzri telah beraksi sebanyak 21 kali buat Akron Zips musim ini dan telah mencetak 4 gol serta 6 bantuan jaringan untuk membantu pasukan University of Akron itu.