Bekas pemain sayap kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Noor menyertai pasukan Liga A1 Semi-Pro, Perak FA.
Perpindahan pemain berusia 35 tahun itu diumumkan pengurusan Perak menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.
“Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Dato’ Haji Azhar Jamaluddin, mewakili seluruh warga Perak FA dengan penuh sukacita mengalu-alukan kehadiran Wan Zack Haikal sebagai pemain baharu Perak FA.
“Kehadiran Wan Zack diyakini mampu menambah variasi serta kreativiti di bahagian tengah serta serangan pasukan, sekali gus memperkukuhkan kekuatan Perak FA dalam menghadapi cabaran musim ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Kehadiran Wan Zack dijangka menyuntik pengalaman yang diperlukan anak buah Syamsul Saad untuk baki kempen 2025/26 termasuk MFL Challenge Cup.
Ini kali kedua bekas pemain sayap Harimau Malaya itu menabur bakti di bumi Perak. Sebelum ini, Wan Zack pernah bersama Perak FC dari 2022 hingga 2025.
Sebelum menyertai Perak FA, beliau memilih beraksi untuk satu lagi pasukan utara tanah air, Penang FC dalam Liga Super.
Wan Zack merekodkan 11 penampilan dan dua bantuan gol sepanjang bersama pasukan yang dibimbing Wan Rohaimi Wan Ismail itu.