Saingan MFL Challenge Cup bakal membuka tirai dengan Sabah mengetuai senarai 8 pasukan yang bertanding.
Malaysian Football League (MFL) menerusi sebuah hantaran mengesahkan penyertaan 8 kelab yang akan bersaing dalam kejohanan MFL Challenge Cup 2025-2026 sekitar Februari hadapan.
8 pasukan tersebut merupakan kelab-kelab yang tersingkir di perlawanan pusingan awal Piala Malaysia iaitu Sabah, PDRM, Penang, Imigresen, UM-Damansara, Perak FA, Kelantan Red Warrior dan Kelantan TRW.
Sabah yang juga finalis Piala FA musim ini tersingkir kepada Melaka tatkala PDRM pula terpaksa akur dengan kehebatan Johor Darul Ta’zim (JDT) hingga terpaksa pulang awal dari Piala Malaysia.
Malang buat Penang dan Perak FA yang memenangi aksi di perlawanan timbal balik pertama sebelum tumpas di tangan Kuching City dan KL City dalam pertemuan kedua dan akur gagal ke suku akhir Piala Malaysia.
Manakala, Kelantan TRW serta UM-Damansara pula masing-masing tumbang kepada lawan lebih baik iaitu Selangor dan Terengganu sekaligus membawa mereka ke kejohanan MFL Challenge Cup ini.
Tentangan sengit cuba diberikan Imigresen dan Kelantan Red Warrior sebelum dua pasukan ini turut kalah di pusingan awal Piala Malaysia kepada Negeri Sembilan serta DPMM sebelum ini.
Pusingan suku akhir MFL Challenge Cup bakal menemukan Sabah vs PDRM manakala dua kelab Liga A1 Semi-Pro iaitu Perak FA dan UM-Damansara akan bertemu sesama sendiri.
Cabaran getir menanti Kelantan Red Warrior yang juga dari Liga A1 Semi-Pro apabila akan turun menentang kelab Liga Super, Penang bagi merebut satu tempat ke separuh akhir.
Sementara itu. satu lagi aksi suku akhir MFL Challenge Cup akan menyaksikan Kelantan TRW bertemu Imigresen dalam perlawanan yang dijadualkan diadakan sekitar awal Februari nanti.