Peluang Sabah Angkat Piala Masih Ada
MakanBola
Sabah FC

Sabah FC masih berpeluang mengakhiri musim 2025/26 dengan trofi meskipun tersingkir daripada saingan Piala Malaysia.

Ini kerana perjuangan anak buah Alto Linus itu kini diteruskan dalam saingan MFL Challenge Cup.

Secara ringkas, lapan pasukan yang tersingkir di peringkat pusingan 16 Piala Malaysia akan meneruskan cabaran mereka dalam MFL Challenge Cup.

Lapan pasukan ini akan berentap di peringkat suku akhir sebelum mara ke peringkat separuh akhir dan final.

Sabah menjadi pasukan pertama menyertai saingan ini apabila tewas 3-0 kepada Melaka FC dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia. Ini menyebabkan Sang Badak tersingkir dengan keputusan agregat 5-2.

Meskipun tersingkir, anak buah Alto berpeluang mengakhiri kempen 2025/26 dengan trofi. Ini sekaligus mengakhiri kemarau trofi pasukan itu sejak edisi 2019.

Tahun tersebut menyaksikan Sabah muncul juara Liga Perdana ketika dibimbing legenda pasukan itu, Jelius Ating.

Sekiranya berjaya merangkul trofi MFL Challenge Cup, Sabah mengikut jejak PDRM FC selaku juara edisi 2023 dan Selangor FC (2024).

Ini juga peluang buat Sabah menebus kekecewaan terlepas trofi Piala FA dalam aksi final pada Disember lalu.