Beregu lelaki ke-13 dunia, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun semakin menghampiri kelompok 10 beregu lelaki terbaik dunia.
Ini kerana berdasarkan semakan kemas kini ranking Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) selepas Indonesia Masters 2025, Wei Chong-Kai Wun bakal menduduki ranking ke-12 dunia.
Perubahan ranking ini berlaku disebabkan kejayaan juara Taipei Open 2023 itu mara ke peringkat akhir Indonesia Masters 2025.
Ini termasuk kejayaan menewaskan dua wakil negara yang beraksi dalam kejohanan sama. Wei Chong-Kai Wun menewaskan Arif Junaidi-Yap Roy King di peringkat suku akhir.
Ini disusuli kejayaan mengalahkan bekas juara dunia 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik di peringkat separuh akhir.
Seandainya trend ini dapat dikekalkan, tidak mustahil Wei Chong-Kai Wun mampu menduduki kelompok 10 beregu lelaki terbaik dunia pada masa akan datang.
Naib juara Indonesia Open 2024 itu bakal berdepan cabaran beregu tuan rumah, Fajar Alfian-Rian Ardianto di peringkat akhir.
Fajar-Rian mara selepas menyingkirkan beregu ke-75 dunia dari Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dalam satu lagi aksi separuh akhir.