Advertising
Wei Chong-Kai Wun Muncul Juara Indonesia Masters, Tundukkan Fajar-Rian
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Beregu lelaki Malaysia, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun mencipta kejutan dengan menggondol gelaran juara Indonesia Masters 2025.

Wei Chong-Kai Wun melakar kejayaan tersebut dengan mengejutkan beregu tuan rumah yang juga beregu lelaki keempat dunia, Fajar Alfian dan Rian Ardianto.

Ad

Selepas berjaya menewaskan Aaron Chia-Soh Wooi Yik di peringkat separuh akhir, beregu ke-13 dunia itu berharap dapat menutup kempen dengan gelaran juara pertama tahun 2025.

Ad

Meskipun begitu, Fajar-Rian menjadi penghalang antara mereka dan gelaran juara. Ini ditambah dengan beregu Indonesia itu memiliki rekod empat kemenangan daripada empat pertemuan lalu.

Kali terakhir kedua-dua beregu berentap ialah saingan Japan Masters 2024. Fajar-Rian menyingkirkan Wei Chong-Kai Wun di peringkat suku akhir kejohanan itu dengan keputusan 21-17, 19-21, 21-19.

Ad

Set pertama menyaksikan kedua-dua beregu bersaing sengit mendapatkan mata. Beberapa kesilapan yang dilakukan Fajar-Rian membuka ruang buat Wei Chong-Kai Wun mendahului pada kedudukan 15-9.

Ad

Meskipun juara Japan Masters 2024 itu cuba merapatkan jurang mata, beregu negara meraih kemenangan set pertama dengan keputusan 21-11.

Ad

Skrip hampir sama berlaku dalam set kedua. Selepas saling berebut mata, Wei Chong-Kai Wun mendahului beregu keempat dunia itu pada kedudukan 11-9.

Fajar-Rian berjaya mengejar sebelum mengikat kedudukan 12-12. Wei Chong-Kai Wun kembali mendahului sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 21-19.

Wei Chong-Kai Wun muncul juara dengan menerima hadiah kemenangan bernilai AS$35,625 (RM156,000). Fajar-Rian menerima hadiah bernilai AS$18,050 (RM79,000) selaku naib juara.

Kejayaan ini turut melengkapkan perubahan ranking yang dialami beregu ke-13 dunia itu. Ini kerana bermula pada minggu hadapan, mereka bakal menjadi beregu ke-12 dunia.