Pasangan beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terpaksa akur tewas di final World Tour Finals di tangan Zheng Si Wei Huang Ya Qiong dalam aksi penuh sengit.
Setelah melakar sejarah mara ke final buat kali pertama, Tang Jie-Ee Wei kini selangkah sahaja lagi sebelum muncul juara dan bakal bertemu jaguh dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.
Rekod pertemuan menyaksikan Si Wei-Ya Qiong merekodkan kemenangan dalam kesemua 4 aksi berdepan Tang Jie-Ee Wei dengan kali terakhir beregu China ini menewaskan wakil negara pada April lalu.
Di awal permainan, Si Wei-Ya Qiong tampil cukup bertenaga dengan serangan bertali arus dan mendahului 4-0 sebelum beregu negara kembali mengikat skor 11-11 di pertengahan aksi.
Tang Jie-Ee Wei sempat memintas mata lawan pada suatu ketika namun pengalaman dan ketenangan yang dimiliki oleh Si Wei-Ya Qiong mendorong kepada kemenangan buat wakil China itu.
Kembali di set kedua, pasangan negara ini berjuang dengan corak permainan lebih agresif dan berjaya memimpin aksi 10-3 meninggalkan Si Wei-Ya Qiong yang kelihatan bergelut mencari rentak.
Tanpa menoleh ke belakang, Tang Jie-Ee Wei terus mengutip mata demi mata sambil memecut jauh sehingga kemenangan diraih sekaligus memaksa aksi berlanjutan ke set yang ketiga.
Di set penentuan, permainan lebih sengit dengan kedudukan kedua-dua pasangan begitu rapat dan servis kerap bertukar tangan sebelum Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong muncul juara.
Pertarungan di gelanggang satu berakhir dengan keputusan 21-18, 14-21, 21-17 memihak Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dalam masa 75 minit.
Selaku naib juara, Tang Jie-Ee Wei membawa pulang wang kemenangan USD100,000 (RM445,000) serta 12,000 mata ranking.