Xisco Munoz Akui Buriram United Miliki Kelebihan Fizikal
MakanBola
Johor Southern Tigers

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui kelebihan fizikal yang dimiliki Buriram United membantu pasukan itu meraih tiket final Shopee Cup.

Hal ini dinyatakan beliau dalam sidang media pascaperlawanan separuh akhir kedua kejohanan itu di Stadium Buriram baru-baru ini.

Munoz mengakui Buriram memiliki ramai pemain tinggi lampai di atas padang. Kelebihan itu bukan saja membantu kelab gergasi Thailand itu menyerap tekanan JDT.

Malah, ini membantu Buriram mencipta peluang menjaringkan gol semasa perlawanan terutama dalam situasi sepakan percuma.

Antara pemain tinggi lampai yang mewakili Buriram ialah Curtis Good yang memiliki ketinggian 195cm, Pansa Hemviboon (191cm), Neil Etheridge (188cm) dan Robert Zulj (189cm).

“Kami tahu mereka mempunyai pemain yang laju. Mereka lebih kuat, mereka pantas. Dan mereka tidak memerlukan banyak percubaan.

“Saya tidak tahu berapa banyak percubaan yang mereka lakukan malam ini sekali lagi untuk menjaringkan gol. Inilah yang berlaku apabila anda bermain menentang pasukan sebegini.

“Mereka tidak perlu mengawal permainan. Tetapi mereka mempunyai penyerang tinggi lampai dan pemain bersaiz besar,” katanya.

Buriram mara ke final dengan keputusan agregat 4-3 meskipun tewas 2-1 di tangan JDT. Kingsley Schindler muncul wira Thunder Castle dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-98.

Meskipun begitu, anak buah Mark Jackson tempang tanpa dua tonggak menjelang aksi final pada 20 dan 27 Mei ini. Ini kerana Guilherme Bissoli dan Goran Causic masing-masing dilayangkan kad merah dalam perlawanan sama.

Bissoli diarah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua. Causic mengikut jejak penyerang Brazil itu selepas VAR mengesan beliau menyiku dada pemain Harimau Malaya, Nazmi Faiz Mansor.

Buriram bakal berdepan satu lagi wakil negara, Selangor FC di peringkat akhir. Selangor mara dengan menyingkirkan Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh FC) 4-1 secara agregat dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Claim Money Packet TnG