Xisco Munoz Mahu JDT Kekalkan Standard Tinggi
MakanBola
Johor Southern Tigers

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mahu anak buahnya mengekalkan standard tinggi bagi mengekalkan rentak kemenangan mereka musim ini.

Jurulatih Sepanyol itu melihat standard tinggi sebagai kunci buat JDT mengharungi musim 2026/27 yang padat selepas ini.

“Ini satu perkara yang kita lakukan. Kita kena mengawal permainan dan mencipta banyak peluang (menjaringkan gol). Saya fikir pada malam ini pasukan memiliki penguasaan (bola) yang bagus dan banyak peluang.

“Kita perlu teruskan, kita memiliki permulaan (musim) yang bagus dalam liga. Jadi, kita kena bekerja keras untuk perkara-perkara lebih penting,” katanya selepas perlawanan JDT dan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC).

JDT meneruskan permulaan musim yang bagus dengan meraih kemenangan besar 9-0 ke atas Kelantan RW. Empat daripada sembilan gol yang direkodkan dalam perlawanan itu disumbang penyerang Iran, Shahab Zahedi.

Zahedi kini mengetuai senarai penjaring terbanyak dengan lima gol, satu gol mengatasi penyerang Kuching City FC, Jerome Mpacko Etame.

Aksi ini juga menyaksikan Munoz memberi peluang kepada bekas pemain Real Sociedad, Jon Yeabsera membuat penampilan pertama bersama Harimau Selatan.