Xisco Munoz Saran Kuching City Tak Turunkan Pemain JDT
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz menyarankan Kuching City tidak menurunkan pemain Harimau Selatan dalam aksi Piala Sumbangsih 2026-27 pada Jumaat.

Pemain-pemain pinjaman daripada JDT yang berada di pasukan Kuching City ialah Nazmi Faiz Mansor, Safawi Rasid, Ryan Lambert, Declan Lambert, Gabriel Nistelrooy dan Ajdin Mujagic.

Selain itu, Kuching City bakal turun tanpa 5 tonggak utama berikutan beberapa isu. Lima tonggak tersebut ialah James Okwuosa, Jerome Mpacko Etame, Ronald Ngah Wanja, Jimmy Raymond dan Rodney Celvin Akwensivie. Perkara ini disahkan jurulatih The Cats, Aidil Sharin Sahak.

Menurut Xisco Munoz, beliau menasihatkan pemain-pemain Harimau Selatan yang berada di pasukan Kuching City tidak diturunkan bagi mengelakkan hal-hal negatif semasa atau selepas perlawanan sekiranya berlaku beberapa kesilapan dalam aksi bertemu JDT.

“Mengenai pemain-pemain Kuching City yang dipinjamkan daripada JDT, bagi saya perkara paling penting ialah keselamatan dan integriti pemain. Kami perlu memahami bahawa jika berlaku kesilapan dalam perlawanan, mungkin ada pihak yang akan menilai atau membuat pelbagai andaian terhadap situasi tersebut.”

“Jadi, apa yang kami fikirkan sekarang ialah keselamatan para pemain dan masa depan mereka. Jika boleh, saya berharap kedua-dua pihak tidak menurunkan pemain-pemain yang terlibat dalam situasi ini. Ini lebih baik untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku selepas perlawanan.”

“Kami melihat perkara ini dari sudut yang positif. Mereka masih mempunyai masa yang panjang untuk membantu Kuching City dan membuktikan kemampuan mereka pada masa akan datang,” katanya dalam sidang media praperlawanan.

JDT akan melayani kunjungan Kuching City di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 21 Ogos ini. Aksi ini bukan saja peluang buat Harimau Selatan meraih trofi pertama untuk musim 2026/27.

Malah, JDT juga dilihat satu-satunya bakal mencipta rekod baru dunia untuk siri perlawanan tanpa kalah paling panjang di dunia iaitu 109 perlawanan pada Jumaat ini.