Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz mengucapkan terima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail (TMJ), Pemangku Sultan Johor, iaitu pemilik majoriti dan peneraju utama kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) FC berikutan kemenangan Harimau Selatan dalam aksi Piala Sumbangsih 2026-27 pada Jumaat.
Beliau mengatakan pencapaian JDT meraih rekod baru dunia untuk siri perlawanan tanpa kalah paling panjang di dunia iaitu 109 perlawanan itu sangat luar biasa dan bukan mudah untuk mencapai tahap ini dalam bola sepak terkini.
“Luar biasa. Hari ini, apa yang boleh kami lakukan hanyalah mengucapkan terima kasih kepada bos. Sukar dipercayai bagaimana 12 tahun lalu beliau mengambil alih kelab ini, dan sekarang beliau telah membawa kelab ke tahap seperti ini.”
“Maksud saya, dalam sejarah bola sepak, pencapaian ini benar-benar luar biasa. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana dunia bola sepak sangat besar. Kita hanya boleh menghargai segala usaha yang telah dilakukan, berapa banyak yang beliau laburkan kepada kelab, serta segala kemudahan yang disediakan untuk kami supaya kami dapat memberikan yang terbaik setiap hari dan terus berkembang.”
“Beliau memberikan yang maksimum untuk pembangunan sukan di Malaysia. Jadi, kami hanya boleh mengucapkan terima kasih kerana malam ini adalah satu malam bersejarah. Bukan mudah untuk mencapai tahap seperti ini dalam bola sepak moden,” kata Xisco Munoz selepas aksi bertemu Kuching City pada Jumaat.
Aksi tersebut menyaksikan JDT menundukkan Kuching City dengan keputusan 3-0 hasil jaringan Marcos Guilherme, Oscar Arribas dan penyerang baharu, Shahab Zahedi.
Selepas ini, JDT akan menentang Kelantan RW manakala Kuching City pula dijadual bertemu KL City pada 26 Ogos ini.