Beberapa tahun lalu Yoane Wissa pernah mengalami detik hitam apabila menjadi mangsa simbah asid namun kini beliau bangkit untuk menjadi pemain utama dalam kancah Premier League.
Pemain kelahiran DR Congo ini merupakan pemain sayap kiri pasukan Brentford dan telah menjaringkan 10 gol dalam 32 penampilan liga bersama Brentford musim ini.
Yoane Wissa yang ketika itu berusia 24 tahun sebenarnya pernah menjadi mangsa simbah asid pada tahun 2021 sewaktu beliau bersama pasukan Lorient di liga Perancis.
Yoane Wissa mengalami detik ngeri tersebut pada 1 Julai 2021 apabila seorang wanita berusia 32 tahun mendatangi rumah beliau dan mendakwa mahu mendapatkan tandatangan untuk anak lelakinya.
Namun wanita tersebut datang kembali buat kali kedua pada waktu tengah malam dan memasuki kawasan rumah Yoane Wissa tanpa kebenaran. Pemain bola sepak itu cuba berhadapan dengan wanita tersebut sebelum beliau tiba-tiba disembur dengan asid dibahagian wajah dan mata.
Kejadian tersebut menyebabkan beliau terpaksa menjalani pembedahan kecemasan dibahagian mata dan perkara ini turut mengejutkan kelab beliau, Lorient.
Menurut laporan Sport Bible, wanita tersebut berniat untuk menculik bayi milik Yoane Wissa tetapi gagal. Suspek keesokannya cuba menculik bayi perempuan milik pasangan daripada Afrika dan berjaya melarikan diri.
Suspek turut menyembur asid kepada salah seorang pasangan tersebut yang menyebabkan mangsa harus dibawa ke hospital. Suspek kemudian ditahan pihak polis dirumahnya setelah polis berjaya menjejak suspek menerusi rekod panggilan telefon.
Motif suspek menculik bayi disebabkan suspek telah mengalami keguguran dan menyembunyikan perkara tersebut daripada suaminya.
Semangat tinggi Yoane Wissa menyaksikan beliau pantas bangkit dan berjaya pulih dalam masa yang singkat sekaligus membenarkan beliau untuk kembali bermain bola sepak.
Brentford yang sudah lama menginginkan khidmat beliau akhirnya bersetuju membawa masuk Yoane Wissa pada Ogos 2021, sebulan selepas kejadian tersebut dengan tag perpindahan sekitar RM50 juta dan kontrak selama 4 tahun.
Kini Yoane Wissa menjadi pemain utama buat pasukan Brentford dan nilai pasaran beliau telah mencecah RM127 juta sejak beraksi di Premier League.
Yoane Wissa juga mencetak dua gol buat DR Congo untuk membantu negara beliau mara hingga ke peringkat separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika sebelum tewas kepada Ivory Coast.