Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah menyatakan bahawa keyakinan para pemainnya tidak boleh diubati dengan panadol actifast.
Jurulatih The Bos Gaurus itu menzahirkan kekecewaan selepas pasukan kendaliannya tunduk 0-2 di tangan seteru terdekat, Penang FC di laman sendiri.
Katanya, beliau sudah hilang sabar dengan persembahan pasukannya yang seolah-olah beraksi tanpa hala tuju dan semangat.
Kesilapan mudah juga telah menghukum perjalanan Perak FC sekaligus terlepas 3 mata berharga di hadapan penyokong setia pasukan.
“Tahap keyakinan pemain amat-amat rendah. Pemain tak berani untuk memegang bola dan melepaskan pada masa yang tidak sepatutnya. Itu yang saya nampak.
“Saya tak nampak ada situasi pecah-belah tetapi lebih kepada keyakinan. Tahap keyakinan ini tiada ubatnya daripada mana-mana jurulatih melainkan para pemain sendiri mengubatnya.
“Kalau ada ubat seperti panadol actifast tu senang. Keyakinan ini dalam diri pemain, mereka beraksi atas padang dan buat keputusan. Seandainya mereka tak mampu mengawal bola, adakah mereka mampu berlari untuk menahan asakan,” jelasnya oleh TBG TV.
Yusri Che Lah juga lihat kesilapan mudah yang dilakukan dalam beberapa perlawanan telah menghukum Perak FC.
“Kesilapan sentiasa akan berlaku tetapi bagaimana kita dapat mengurangkan kesilapan itu bakal mengubah nasib pasukan,” jelasnya.
Perak akan berehat seketika sebelum menyambung aksi Liga Super menentang Kelantan United pada 26 Julai 2024.