Legenda bola sepak Malaysia, Datuk Zainal Abidin Hassan memuji tindakan Selangor FC melantik pengendali baharu pasukan itu dari Jepun, Katsuhito Kinoshi.
Pengurusan Merah Kuning mengumumkan pelantikan jurulatih berusia 60 tahun itu sebagai pengganti jurulatih sebelumnya, Nidzam Jamil baru-baru ini.
Beliau menjadi jurulatih keenam Selangor dalam tempoh enam musim. Sebelum menggalas peranan sebagai pengendali Selangor, Kinoshi sebelum ini berkhidmat sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan Serbia.
Selain Serbia, beliau juga pernah bergelar jurulatih bersama Omiya Ardija, Yokohama FC, Nagoya Grampus dan Guangzhou FC.
Zainal menyifatkan pelantikan Kinoshi menunjukkan kesungguhan Selangor untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
“Betul kerana kita tahu ya di peringkat ACL, Selangor telah membuat satu pergerakan yang baik dan dengan cepatnya mencari pengganti Nidzam Jamil.
“Ini kerana ACL ini amat penting (buat Selangor). Mereka telah menyiapkan program dan kewangan untuk ACL. Jadi, dengan keadaan sekarang ini, mereka ingin jalan lebih jauh.
“Dan di situlah mereka menamakan dengan cepatnya jurulatih yang baharu untuk mengendalikan pasukan Selangor,” katanya semasa menjadi panel Nindia.
Zainal turut melihat Kinoshi perlu bijak memanfaatkan masa yang ada untuk memperbaiki prestasi semasa Selangor. Ini kerana aspek ini dilihat kunci untuk Merah Kuning mara lebih jauh dalam ACL2.
“Mereka (Selangor) memiliki (pemain) berkualiti. Ini bermakna (Selangor) kena menunjukkan perubahan (prestasi) pantas, itu memang betul.
“Maksud saya, jika (Kinoshi) mengambil masa (bentuk pasukan), penyokong-penyokong Selangor perlu beri masa dan beri sokongan kepada pasukan,” ujarnya.
Selangor bakal mengharungi aksi ACL2 seterusnya menentang Muangthong United pada 28 November di Stadium MBPJ.
Aksi kelima Kumpulan H ini cukup penting buat Merah Kuning kerana kedua-dua pasukan hanya dipisahkan dua mata dalam kumpulan berkenaan.