Pemilik pasukan Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali dengan gelaran Zamsaham mendedahkan pihak kelabnya tidak pernah mengiklankan jawatan kosong untuk Pengarah Teknikal di Jobstreet.
Perkara tersebut telah tular baru-baru ini dan Zamsaham percaya kerja tidak bertanggungjawab itu telah dibuat oleh ‘hantu’ yang mahu merosakkan kelab dari pantai timur itu.
“Iklan jawatan kosong Technical Director TRW (The Red Warriors) yg dibuat pada 14 Ogos 2023 di Jobstreet itu bukan dibuat oleh TRW Kelantan FC, ianya fitnah dan dibuat oleh ‘hantu’ yg memang nak melaga-laga dan rosakkan TRW,” jelas Zamsaham dalam satu muatnaik di laman Facebook beliau.
Dalam pada itu, Zamsaham menegaskan sudah membawa perkara itu kepada pasukan undang-undang untuk dilaporkan kepada pihak Jobstreet bagi tindakan lanjut. Zamsaham turut mencadangkan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati kepada beliau supaya berjumpa terus dengannya.
“Sy dah minta team legal report ke Jobstreet, report ke MACC juga. Kepada yang buat tu, kalau tak suka saya atau TRW , jumpa saya berdepan kan senang. Apa guna baling batu sembunyi tangan,” luah Zamsaham lagi.
Untuk rekod, beberapa hari lepas media melaporkan mengenai iklan jawatan kosong Pengarah Teknikal yang disiarkan di laman Jobstreet. Kini, kerusi pengarah teknikal Kelantan FC telah pun diisi jurulatih berpengalaman, Ariff Hashim.