Bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak berharap pengurusan Penang FC bijak memilih penyerang import yang akan memperkuatkan jentera serangan pasukan itu.
Keperluan mencari peledak baru untuk skuad Harimau Kumbang timbul apabila pasukan itu gagal meraih jaringan dalam aksi suku akhir kedua Piala FA 2024 menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 5 Julai lalu.
Penang yang dibimbing Akmal Rizal Ahmad Rakhli perlu menjaringkan satu gol untuk menyamakan kedudukan agregat 1-1 dan mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Malangnya, ketumpulan penyudah jentera serangan yang diterajui Rodrigo Dias dan Nabil Ahmad Latpi mengakibatkan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Dan itu sudah cukup buat Sang Kenari yang dipimpin Nafuzi Zain untuk layak ke separuh akhir dengan keputusan agregat 1-0.
Akmal kemudiannya mendedahkan perancangan Penang untuk mendapatkan seorang penyerang import dari Asia untuk menambah sengat di bahagian serangan. Perancangan itu dikongsikan dengan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi selepas perlawanan.
Meskipun mengakui keperluan Penang untuk mencari penyerang import baru, Zaquan berharap pengurusan Harimau Kumbang bijak memilih penyerang yang tepat.
Ini kerana jika mereka tersalah pilih pemain import baru, ini bukan saja akan merugikan Penang dari segi kewangan. Malah, ini akan menyukarkan perancangan Akmal untuk menambah baik pencapaian pasukan itu dalam liga untuk musim 2024/25.
“Kriteria pemain yang perlu dicari Penang ialah penjaring gol (yang prolifik). Memang betul pilihan tepat (yang dibuat) Coach Akmal ialah mencari penyerang. Tetapi jangan salah pilihlah. Harap-harap jangan salah pilih.
“(Pemilihan pemain import yang salah) kerap terjadi. Kadang-kadang kita perlukan pemain import tapi adakah pemain import beri impak yang positif? Kita perlukan penyerang tetapi bolehkah penyerang itu boleh menjaringkan gol?
“Dan ya, mereka perlu penyerang import (baru) tetapi jangan salah pilih,” katanya semasa menjadi panel perlawanan Kedah-Penang di Astro Arena.
Ketika ini, Penang memiliki empat tonggak import untuk musim 2024/25 iaitu kapten Rafael Vitor, Richmond Ankrah, Neto Oliveira dan Dias.
“