Advertising
Zaquan Adha: KL City Belum Jumpa Pengganti Paulo Josue
MakanBola
Sri Pahang FC

Bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak menyifatkan KL City FC bakal bergelut tanpa kapten mereka, Paulo Josue menjelang aksi terakhir Kumpulan B Shopee Cup.

Ini kerana tonggak Harimau Malaya itu banyak menyumbang bukan saja dari segi gol. Malah, pemain berusia 36 tahun itu turut bertindak sebagai pencipta gol buat rakan sepasukan.

Ad

Hal ini turut disokong dengan statistik musim 2024/25. Josue sudah menjaringkan 14 gol dan mencipta enam bantuan gol buat The City Boys dalam semua kejohanan termasuk Shopee Cup.

Ad

Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat beraksi dalam aksi menentang Buriram United. Ini kerana Josue mengutip kad kuning kedua semasa menentang Cong An Ha Noi FC (CAHN).

Atas sebab itu, Zaquan merasakan juara Piala Malaysia 2021 itu akan bergelut menjelang aksi menentang Thunder Castle. Ini kerana belum ada pemain yang dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Josue.

Ad

“Kita selalu cakap dari awal musim, KL (City) kalau nak jaringkan gol, mesti kena ada Paulo (Josue). Kalau dia tak jaringkan gol, dia cipta bantuan gol,” katanya semasa menjadi panel Nindia.

Ad

“Jadi, kebergantungan pasukan KL (City) ini masih tak dapat walaupun ada pemain muda macam Haqimi (Azim Rosli). Paulo Josue ini kalau dia tiada, tiada jaringanlah untuk pasukan KL.

Ad

“Jadi, saya rasa pasukan KL (City) ini belum jumpa siapa (pemain) yang boleh gantikan Paulo Josue.”

Selain Josue, KL City juga terpaksa melupakan Kamal Azizi Mohamad Zabri. Ini kerana bek kanan berusia 31 tahun itu juga perlu menjalani penggantungan perlawanan selepas dibuang padang ketika menentang CAHN.

The City Boys turut tempang tanpa kelibat Azri Ghani, Anwar Ibrahim, Nick Swirad dan Sean Giannelli. Empat pemain ini disisihkan akibat masalah kecederaan.

KL City bakal berdepan Thunder Castle di Stadium Buriram pada 6 Februari ini. Pemenang berpeluang mengiringi CAHN ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B.