Zarif Irfan Masih Berharap Sri Pahang Kekal Di Liga Super
MakanBola
Sri Pahang FC

Penjaga gol Sri Pahang FC, Zarif Irfan Hashimuddin masih berharap pasukan itu kekal di Liga Super musim depan.

Sebelum ini, First Instance Body (FIB) memaklumkan Sri Pahang FC menjadi sebahagian daripada 13 pasukan yang mendapat Lesen Kebangsaan musim 2025/26.

Berita ini mencetuskan persoalan sama pasukan itu kekal beraksi atau tidak dalam Liga Super. Ini kerana situasi sama pernah dihadapi PJ City FC.

PJ City FC memilih tidak beraksi dalam Liga Super musim 2023 meskipun sudah menerima Lesen Kebangsaan untuk musim tersebut.

Apabila diminta mengulas tentang perkara itu, Zarif Irfan mengakui masih berharap ada keajaiban buat pasukan Pantai Timur itu.

Pada masa sama, bekas penjaga gol Felda United itu tetap merancang untuk musim 2025/26 termasuk mencari pasukan baharu.

“Saya masih menaruh harapan pada Sri Pahang walaupun di rumah ketika ini sedang berkemas untuk pindah. Saya masih ada harapan untuk Pahang kekal di Liga Super,” katanya seperti yang dilaporkan Stadium Astro.

“Sekarang sukar cari pasukan, tetapi pemain tahu lambat. Jadi agar sukar untuk mencari pasukan dengan struktur gaji.

“Tapi sekarang saya masih menunggu tawaran daripada mana-mana pasukan.”

Zarif Irfan membantu Sri Pahang mara ke final Unifi Piala Malaysia 2024/25 sebelum tewas kepada juara, Johor Darul Ta’zim (JDT).