Penjaga gol berpengalaman, Zarif Irfan menyatakan kesediaan beliau untuk menjadi penjaga gol utama Sri Pahang menjelang musim 2024/2025.
Zarif Irfan dijangka akan menjadi penjaga gawang utama Sri Pahang setelah pemergian mengejut Izham Tarmizi pada akhir April lalu.
Musim lalu kedua-dua penjaga gol itu bergilir-gilir menjaga gawang gol pasukan apabila kedua-duanya melakukan 14 penampilan dalam Liga Super.
Ketiadaan Izham Tarmizi yang kembali ke pangkuan JDT bakal memberikan laluan besar buat Zarif Irfan untuk membuktikan kemampuannya selaku penjaga gol utama pasukan.
Zarif Irfan yang kini berusia 29 tahun merekodkan 5 cleansheet dan dibolosi sebanyak 17 kali dalam 14 penampilan Liga Super musim lalu.
“Saya akan cuba yang terbaik untuk dapatkan posisi nombor 1 penjaga gol pasukan kalau diberi kepercayaan oleh jurulatih.” ujar Zarif Irfan selepas tamat aksi pra-musim menentang Terengganu tempoh hari.
Sri Pahang turut membawa masuk Wan Mohd Syazmin secara pinjaman dari Kedah Darul Aman dalam memperkuatkan pilihan penjaga gol pasukan dan kini skuad Tok Gajah memiliki 3 penjaga gol hebat iaitu Zarif Irfan, Wan Mohd Syazmin dan Azfar Arif.