Zhafri Yahya: Alhamdulillah
MakanBola
KL City FC

Pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Zhafri Yahya melafazkan rasa syukur kepada Allah s.w.t.

Ini selepas pengurusan pasukan Lembah Klang itu memenuhi janji dengan melunaskan tunggakan gaji pasukan itu untuk Januari 2026.

Berita ini disambut baik oleh Zhafri. Ini kerana ini membantu beliau dan barisan pemain KL City kekal fokus memburu kedudukan kedua Liga Super tanpa diganggu masalah luar padang.

“Alhamdulillah. (Isu tunggakan gaji) sudah diselesaikan oleh pengurusan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Zhafri turut memberi penghargaan kepada pengurusan pasukan terutama Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar kerana menyelesaikan perkara tersebut.

“Saya sangat menghargai pihak pengurusan terutama Encik Yazid kerana memberi kata-kata motivasi kepada kita dan menyelesaikan tunggakan gaji,” tambahnya.

Sebelum ini, Syed Yazid mengadakan pertemuan dengan skuad KL City sebelum aksi Liga Super menentang Brunei DPMM FC pada Februari lalu.

Sesi pertemuan itu diadakan bagi membolehkan beliau menjelaskan isu yang timbul termasuk kelewatan gaji. Syed Yazid turut memaklumkan isu tersebut akan diselesaikan apabila ditanya tentang perkara itu.