12 Gol Tanpa Bergson, JDT Bukti Siapa-siapa Pun Boleh Jadi Penjaring
Blog
Johor Southern Tigers
Advertisements

Dua kemenangan besar berturut-turut dilakar Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super dengan Negeri Sembilan dan Kelantan menjadi mangsa santapan sang Harimau Selatan.

Gawang Si Rusa dirobek tujuh kali di laman lawan manakala Si Kijang diratah lima kali di laman sendiri untuk 12 gol dijaringkan tanpa belas oleh barisan pemain JDT yang disifatkan mempunyai kelebihan teknikal yang tinggi oleh sang pengendali lawan masing-masing.

Tambah menakutkan, 12 jaringan ini terhasil tanpa kehadiran penyerang utama JDT, Bergson Da Silva yang terpaksa diketepikan kerana kecederaan dan dijangka pulih untuk berhadapan Sang Gergasi Merah selepas ini.

Advertisements

Jika pasukan lain mungkin tempang tanpa penyerang utama berlainan pula buat JDT yang dilihat tidak berdepan masalah malah enam pemain tampil mencetak jaringan hinggakan para penyokong terlupa JDT bermain tanpa Bergson.

Enam pemain berjaya menggalas tugas menjaringkan gol sekaligus membuktikan sesiapa pun mampu menghasilkan jaringan untuk JDT tanpa bergantung harap kepada penyerang tunggal.

Sistem Penggiliran Yang Berkesan

Sistem penggiliran dan persaingan sihat dalam pasukan ini sudah membuahkan hasil kerana kesemua pemain yang diturunkan setakat ini menunjukkan aksi yang mantap dan mempunyai kualiti yang sama dengan pemain yang digantikan.

Advertisements

Kembalinya Diogo ke Iskandar Puteri dilihat langsung tidak kekok malah jika dulu dia gembira menerima umpanan daripada Safawi Rasid kini Diogo selesa pula dibantu Arif Aiman dan dia kini juga bertindak sebagai ‘goal setter’ dan bukan sekadar penjaring.

Ini adalah masalah baik yang perlu dihadapi Esteban Solari kerana dia mempunyai banyak bakat-bakat yang mampu menggalas tugas yang dia mahukan sekaligus menjadikan JDT sebagai pasukan yang sangat kuat setakat ini.

Kemasukan pemain-pemain muda tempatan juga dilihat tidak langsung menggangu corak permainan JDT malah aksi Adam Farhan Faizal langsung tidak canggung apabila diberikan peluang untuk beraksi.

Advertisements

Pemain dari skuad Akademi JDT juga kini semakin diberikan peluang untuk beraksi bersama-sama skuad utama yang dilihat dapat membantu mereka mendapatkan pengalaman selain belajar membuat keputusan dalam keadaan yang sukar.

Selepas empat perlawanan, 17 gol berjaya dijaringkan dan Bergson hanya menyumbang satu gol setakat ini. Statistik itu pastinya akan berubah kerana musim masih panjang tetapi apa yang penting, semua yang ada di dalam skuad mampu menjaringkan gol. Ini adalah igauan buruk buat semua pasukan lawan.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram