Blog

Selangor Bercakap Tentang Sikap, Statistik Bercakap Tentang Satu Percubaan Tepat Dalam 120 Minit

Safuwan Baharudin vs Kuching City Selangor Bercakap Tentang Sikap, Statistik Bercakap Tentang Satu Percubaan Tepat Dalam 120 Minit
Selangor FC
Advertisements

Kekalahan Selangor FC kepada Kuching City dalam separuh akhir kedua Piala FA masih belum reda. Kali ini, perbincangan beralih daripada apa yang berlaku di atas padang kepada apa yang ditulis di media sosial.

Pertahanan Selangor, Safuwan Baharudin, memuat naik kenyataan panjang selepas perlawanan. Beliau mengakui kalah dan menang adalah sebahagian daripada bola sepak dan pasukannya perlu menerima keputusan itu. Namun Safuwan turut menyentuh apa yang disifatkannya sebagai tingkah laku tidak sportif yang berlaku selepas keputusan, sambil menegaskan perkara itu sukar diterima dan tiada tempat dalam bola sepak.

Kenyataan itu mendapat sokongan ribuan penyokong Gergasi Merah. Namun Safuwan tidak menjelaskan secara spesifik tingkah laku apa yang dimaksudkan, atau siapa yang terlibat. Ketiadaan perincian itu membuka ruang kepada satu naratif baharu dalam kalangan penyokong, bahawa Selangor tersingkir dalam keadaan yang tidak adil.

Hakikatnya, angka perlawanan memberikan gambaran yang sangat berbeza.

Sepanjang 120 minit, Kuching City menguasai 63 peratus penguasaan bola berbanding 37 peratus milik Selangor. The Cats melepaskan 14 percubaan dengan empat tepat ke sasaran, manakala Selangor mencatat 11 percubaan tetapi hanya satu yang tepat ke sasaran. Kuching City juga memperoleh lapan sepakan sudut, dua kali ganda berbanding Selangor.

Satu percubaan tepat dalam tempoh dua jam permainan. Itu jawapan paling jujur kepada persoalan mengapa Selangor gagal ke final. Pasukan yang membawa kelebihan agregat 2-1 ke Kuching itu tidak cukup mengancam untuk menjaringkan gol, malah tidak cukup mengancam untuk benar-benar menguji penjaga gol tuan rumah.

Selepas insiden penalti yang disudahkan cemerlang Safawi Rasid, Selangor masih mempunyai lebih 60 minit termasuk masa tambahan untuk mencari gol, dan mereka gagal melakukannya.

Soal kekecohan pula, rekod rasmi perlawanan juga perlu dibaca dengan jujur. Selepas gol sendiri Mukhairi Ajmal pada minit ke-118, keadaan menjadi tegang, dan pihak yang dilayangkan kad merah ialah pemain Selangor, Eduardo Sosa, serta jurulatih kecergasan pasukan, Joel Dones. Jika benar ada tingkah laku tidak sportif dari pihak lain, cara terbaik ialah mengemukakan bukti kepada FAM atau MFL, bukan membiarkan penyokong membuat tafsiran sendiri di media sosial.

Rasa kecewa selepas tersingkir di separuh akhir adalah sesuatu yang biasa. Kenyataan Safuwan juga ada bahagian yang wajar dipuji, terutama apabila beliau memohon maaf kepada penyokong dan berjanji pasukan akan bangkit lebih kuat. Itu sikap seorang profesional.

Tetapi untuk bangkit, Selangor perlu jujur dengan diri sendiri terlebih dahulu. Kekalahan di Petra Jaya bukan berpunca daripada sikap lawan atau suasana stadium. Ia berpunca daripada pasukan yang hanya mampu menghasilkan satu percubaan tepat dalam 120 minit, berdepan lawan yang lebih lapar, lebih menguasai permainan dan lebih berani menyerang.

Kuching City tidak mencuri tiket ke final. Mereka merampasnya.