2 Jaringan Penting Lonjak Nama Rahman Daud
MakanBola
Selangor FC

Nama pemain muda Selangor, Abdul Rahman Daud semakin melonjak tinggi setelah tanpa henti menggegarkan jaring gol lawan dalam saingan Liga A1 Semi-Pro.

Rahman Daud terus menjadi sandaran skuad muda Selangor untuk mengemudi jentera serangan ketika turun menentang Kelantan WTS dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di tempat lawan pada Isnin.

Kepercayaan yang diberikan kepada penyerang berusia 22 tahun itu dibalas dengan cukup sempurna apabila dua gol Selangor II disumbangkan oleh Rahman Daud pada setiap babak permainan.

Gol pertama terhasil menerusi sepakan penalti yang berjaya disudahkan dengan tenang oleh Rahman Daud ketika masa tambahan babak pertama bagi Selangor II kembali mengikat kedudukan 1-1.

4 minit bersambung babak kedua, Rahman Daud sekali lagi menyinar dengan gol kedua peribadi pada aksi ini sebelum Danish Irfan menoktahkan kemenangan 3-1 buat Selangor II di bumi Kelantan.

Dua jaringan yang disumbangkan oleh Rahman Daud ini juga meletakkan beliau di tangga kedua carta penjaring terbanyak Liga A1 Semi-Pro dengan 20 gol, satu gol di belakang pemain Kelantan RW, Emmanuel Mbarga.

Kemenangan ini juga membantu Selangor untuk menjarakkan kedudukan dengan pencabar terdekat, JDT II yang menghuni tangga kedua dengan beza 4 mata namun memiliki kelebihan dua aksi di dalam tangan.