Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain telah mengesan tiga faktor yang membuatkan pasukan kendaliannya itu menelan kekalahan kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di gelanggang sendiri pada Sabtu.
Tiga faktor yang telah dikesan adalah keadaan fizikal, faktor kecergasan pemain dan juga dari segi tempo permainan yang kelihatan ketara.
Biarpun tewas, Nafuzi walau bagaimanapun berbangga dengan aksi yang ditonjolkan para pemain kendaliannya.
“Dari segi faktor, kita tengok Selangor lebih jauh baik berbanding Kedah terutamanya dari segi faktor fizikal, faktor kecergasan.
“Kita tengok dari segi tempo, Selangor adalah jauh lebih tinggi dan untuk memberikan satu taraf dengan tempo itu memang sukar dengan keadaan kita sekarang.
“Namun pemain telah mencuba yang terbaik. Kita tahu kita memang perlukan kemenangan selepas tewas dengan Sabah tapi kita kena akur dengan apa yang kita dapat bagi walaupun dengan situasi kita sekarang,” jelas Nafuzi dalam sidang media selepas perlawanan yang dikongsikan KDA FC.
Pada aksi tersebut, jaringan tunggal Aliff Izwan sudah memadai buat Selangor membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Darul Aman dengan menewaskan Kedah 1-0.
Kekalahan Kedah itu mengekalkan mereka di kedudukan ke-10 Liga Super dengan mengumpul 13 mata selepas 14 perlawanan yang telah diharungi.