3 Negeri Tolak Tawaran Penggunaan Rumput Zeon Zoysia

Twitter @selangorfc 3 Negeri Tolak Tawaran Penggunaan Rumput Zeon Zoysia
@selangorfc
Azim Noor @mohdazim45
9:54pm 12/06/2023

Hasrat ramai penyokong bola sepak melihat rumput Zeon Zoysia digunakan di stadium-stadium di seluruh negara tidak kesampaian. Ini selepas tiga negeri telah menyatakan hasrat tidak mahu menggunakan rumput tersebut di stadium mereka.

Tiga negeri berkenaan ialah Pahang, Terengganu dan Wilayah Persekutuan. Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, keputusan tersebut dibuat memandangkan stadium yang dipilih masih lagi digunakan secara aktif terutama untuk pertandingan Liga Super.

“Perbincangan terkini pada hari ini, ada beberapa negeri yang tidak bersetuju melaksanakan kerana mereka mempunyai stadium sendiri yang sedang berjalan dan dengan rumput merekalah.

“(Untuk) lanjutan masa, Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Perlis, Melaka Selangor, Perak dan Negeri Sembilan telah meminta supaya mereka mempunyai lebih masa untuk mengkaji kesesuaian perlaksanaan penanaman rumput Zeon Zoysia di negeri mereka.

“Dan mereka nak tengok dulu hasil di Stadium Nasional Bukit Jalil, OK. Kerana mereka mahu lihat beberapa faktor yang mereka perlu pertimbangkan seperti penaiktarafan sistem saliran di stadium negeri tersebutlah,” katanya kepada media hari ini.

Satu-satunya negeri yang telah menyatakan persetujuan untuk memulakan perlaksanaan penanaman Zeon Zoysia ialah Sarawak. Justeru, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meninjau lokasi yang dipilih bagi mencadangkan kerja-kerja penaiktarafan sebelum kerja penanaman rumput dapat dilakukan.

“Kita akan mula dengan Sarawak dahulu. Mereka boleh pilih stadium dengan kerajaan negeri tetapi untuk kami yang tanam rumput, kena pastikan sistem salirannya OK.

“Kini, Sarawak sudah bersetuju dan KBS akan mulakan perancangan dengan tengok lokasi mana yang perlu dinaiktaraf, yang perlu negeri baiki sebelum rumput sampai dan kita tanam,” tambahnya.