Kedudukan jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia telah dipintas oleh tiga pemain handalan dunia dari Asia.
Zii Jia mempamer aksi memukau sebelum ini apabila meraih 2 gelaran juara di Thailand Open dan Australian Open selain membawa pulang pingat gangsa buat kontinjen negara di Sukan Olimpik Paris.
Kejayaan tersebut melonjakkan kedudukan Zii Jia secara berperingkat sebelum akhirnya bergelar pemain di ranking ketiga dunia menerusi kemas kini pada 10 September yang lalu.
Walau bagaimanapun, isu kecederaan menyelubungi jaguh kelahiran Kedah itu menyebabkan beliau kehilangan tempat dalam kelompok tiga pemain terbaik dunia dan akhirnya jatuh ke ranking kelima.
Berdasarkan kemas kini ranking oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa menyaksikan kedudukan Lee Zii Jia jatuh ke tangga ketujuh dunia apabila dipintas oleh tiga jaguh Asia.
Bintang Indonesia, Jonatan Christie yang muncul naib juara Arctic Open minggu lalu melonjak 2 anak tangga dan berada di ranking ketiga dunia meskipun tewas di tangan Chou Tien Chen.
Sementara Kodai Naraoka dari Jepun dan pemenang pingat perak di Olimpik Paris, Kunlavut Vitidsarn masing-masing melonjak satu anak tangga untuk menolak Zii Jia ke tempat ketujuh.
Shi Yu Qi dari China dan juara Olimpik Paris, Viktor Axelsen masih mengekalkan kedudukan mereka di dua tangga teratas ranking perseorangan lelaki dunia buat masa ini.
Terkini, Zii Jia mengumumkan penarikan diri dari menyertai Denmark Open minggu ini sekaligus meninggalkan Leong Jun Hao sebagai wakil tunggal perseorangan lelaki negara.