3 Pemain Harimau Malaya Yang Dijangka Bakal ‘Dikorbankan’ Kim Pan-gon
Blog
Linkedin Kim Pan-gon
Advertisements

Bulan Jun hadapan merupakan bulan paling sibuk dalam kalendar bola sepak kebangsaan. Skuad senior kebangsaan bakal beraksi dalam Kelayakan Piala Asia 2023 di mana Malaysia menjadi tuan rumah manakala skuad bawah 23 tahun bakal ke Uzbekistan untuk Kejohanan Piala Asia B-23.

Jadual yang bertembung ini memaksa kedua-dua pengendali iaitu Kim Pan-gon (skuad senior) dan Brad Maloney (skuad B-23) perlu duduk berbincang bersama-sama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memanggil pemain terbaik yang bakal menggalas tanggungjawab negara.

Dalam dua aksi persahabatan di Singapura, Kim Pan-gon telah memanggil beberapa pemain yang berusia bawah 23 tahun di mana mereka ini masih dibenarkan beraksi untuk Piala Asia B-23.

Advertisements

Antara pemain-pemain berusia bawah 23 tahun yang dipanggil Pan-gon adalah Akhyar Rashid (22 Tahun), Arif Aiman Hanapi (20 Tahun), Luqman Hakim Shamsudin (20 Tahun), Quentin Cheng (22 Tahun) dan Ramadhan Saifullah (21 Tahun).

Namun dalam lima pemain yang disebutkan itu berkemungkinan besar tiga daripadanya bakal berpeluang beraksi di Kejohanan Piala Asia B-23 untuk menambah kekuatan pasukan bimbingan Brad Maloney.

  • Luqman Hakim Shamsudin (20 Tahun)

Penyerang muda yang berpangkalan di Belgium bersama kelab KV Kortrijk ini telah menjadi sandaran utama pasukan bawah 23 tahun negara ketika pusingan kelayakan Piala Asia B-23. Gerakan-gerakan serangan Luqman berjaya membelah pertahanan dari segenap sudut.

Advertisements

Walaupun gagal manjaringkan gol ketika pusingan kelayakan tahun lepas, namun kelajuan dan skil individu yang dimiliki Luqman pastinya bakal ditagih Maloney Jun nanti.

Mungkin ketiadaan Luqman bersama skuad senior nanti bakal diisi penyerang negara yang lain seperti Darren Lok (PJ City), Nurshamil Abd Ghani (Kelantan FC) mahupun Shahrel Fikri (Selangor FC).

  • Quentin Cheng (22 Tahun)

Pemain bek kanan Selangor FC ini mempunyai banyak kelebihan antaranya mempunyai ‘crossing’ berkualiti dari sisi kanan. Selain itu, pemain ini pantas turun untuk membantu pertahanan ketika seranagn balas pihak lawan.

Advertisements

Quentin beraksi dengan cemerlang ketika pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 tahun lepas dan khidmatnya bersama skuad bawah 23 tahun negara dijangka terus ditagih Maloney dalam mengisi posisi bek sayap kanan.

Mungkin ketiadaan Quentin bersama skuad senior nanti bakal diisi pemain bek kanan yang lain yang lebih berusia seperti Rizal Ghazali (Sabah FC), Mathiew Davies (JDT) dan Ariff Farhan (Kedah FC).

  • Ramadhan Saifullah (21 Tahun)

Pemain muda JDT ini merupakan salah seorang pemain sayap terpilih dalam senarai akhir skuad yang dibawa Kim Pan-gon ke Singapura bersama-sama Faisal Halim, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Mohamadou Sumareh.

Advertisements

Persaingan sihat di posisi sayap skuad kendalian Pan-gon menyaksikan pemain ini berada di bangku simpanan untuk kedua-dua perlawanan persahabatan menentang Filipina dan Singapura tempoh hari.

Dengan usianya yang masih muda ditambah dengan persaingan sengit di posisi sayap skuad senior, pastinya kehadiran Ramadhan dalam skuad bawah 23 tahun negara kelak bakal menambah kekuatan pasukan kendalian Maloney ini.

Jika Ramadhan dibawa Maloney ke Uzbekistan, skuad senior masih mempunyai empat lagi pemain sayap yang lain yang dilihat mempamerkan aksi memberangsangkan di Singapura.

Penutup

Tidak kira pemain mana yang bakal ‘dikorbankan’ Pan-gon, kesemua pemain harus bersedia untuk beraksi di mana-mana kejohanan melibatkan pasukan negara. Tidak kira skuad senior mahupun skuad bawah 23 tahun, semuanya demi membawa nama Malaysia ke peringkat Asia. Selamanya Harimau Malaya!

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram