Untuk meningkatkan daya persaingan dalam saingan Piala MFL, Malaysia Football League (MFL) telah menetapkan untuk membenarkan tiga pemain import dan dua pemain lebih umur diturunkan oleh setiap pasukan.
Selain itu, format untuk Piala MFL bagi musim 2024/2025 juga akan berubah selepas hanya satu kumpulan liga yang dijalankan berbanding dua kumpulan liga musim lalu.
Perubahan kuota import dan format liga tersebut telah dikongsikan oleh MFL melalui satu kenyataan rasmi yang disiarkan pada semalam.
“Piala MFL pula akan menggunakan format liga satu kumpulan berbanding format dua kumpulan yang digunakan pada 2023.
“Perubahan format ini dilihat akan menyediakan lebih banyak perlawanan kepada pemain-pemain dan juga seperti yang diminta oleh kelab-kelab untuk meningkatkan kesediaan dan pendedahan pemain bawah 23 tahun (B23) sebelum diserap ke pasukan Liga Super pada bila-bila masa.
“Bagi meningkatkan daya saing dan intensiti saingan Piala MFL, kuota pemain lebih umur dan pemain asing pertandingan ini juga akan dibuka untuk digunakan mengikut keperluan dan percaturan setiap kelab dengan maksimum 3 pemain asing dan 2 pemain lebih umur di atas padang pada satu-satu masa,” umum MFL.
Kuota import dan pemain lebih umur yang dilaksanakan musim lalu adalah dua pemain import serta seorang sahaja pemain lebih umur dibenarkan beraksi untuk satu perlawanan.
Pasukan hanya dibenarkan menggunakan seorang pemain import sahaja semasa perlawanan berlangsung jika dua pemain lebih umur telah diturunkan.