3 Penjaga Gol Liga Super Ikut Jejak Kalamullah
MakanBola
Selangor FC

Tiga lagi penjaga gol pasukan Liga Super mengikuti jejak penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Al-Hafiz dalam mengekalkan dan menambah baik prestasi masing-masing menjelang sepak mula Liga Super 2025/2026 tidak lama lagi.

Umum mengetahui bahawa Kalamullah telah menjalani latihan khas bersama jurulatih penjaga gol dari Mio Army Goalkeeper Trainer.

Kini tiga lagi penjaga gol Liga Super turut serta menjalani latihan bersama jurulatih tersebut iaitu penjaga gol Kuala Lumpur City FC (KL City), Azri Ghani, penjaga gol Negeri Sembilan FC, Aqil Razak dan penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel.

Video latihan kesemua penjaga gol ini telah dimuatnaik oleh laman Tiktok, Mio Army Goalkeeper Trainer dan rata-rata peminat bola sepak Malaysia memuji inisiatif yang diambil penjaga gol-penjaga gol ini.

“Off season pun ambil personal training. Mentaliti macam ini seharusnya menjadi contoh kepada semua anak-anak muda. Terbaik semuanya,” komen Hzpro di Tiktok.

Semoga dengan usaha keras empat penjaga gol ini, sekali gus akan meningkatkan prestasi masing-masing buat kelab mereka dan juga pasukan kebangsaan di masa akan datang.