Advertisements
Profil 3 Pemain Import Yang Bakal Bersama Perak FC
Dunia
MakanBola
Perak FC

Selepas pihak pengurusan beralih tangan, pasukan Perak FC tidak menunggu lama untuk memperbaiki pasukan dalam usaha menyelamatkan pasukan daripada tersingkir dari Liga Perdana musim hadapan.

Baru-baru ini, terdapat sumber mendedahkan seramai 13 orang tempatan akan dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan yang sebelum ini agak bergelut untuk menyenaraikan pemain terbaik gara-gara sekatan pendaftaran pemain baharu.

Dan hari ini, pasukan Perak telah mengumumkan tiga pemain import akan dibawa ke dalam pasukan untuk sesi percubaan. Tiga pemain import tersebut adalah Stipe Plazibat dari Croatia, Luciano Guaycochea dari Argentina dan Sunday Kolawole Afolabi dari Nigeria.

Stipe Plazibat merupakan nama yang tidak asing lagi bagi arena bola sepak di Singapura apabila pemain di posisi penyerang itu menjaringkan 14 gol dari 17 penampilan untuk pasukan Lion City Sailors untuk musim 2020/2021 yang menjadikan beliau antara salah seorang penjaring terbanyak Liga Premier Singapura.

Penyerang berusia 32 tahun itu pernah dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Kedah Darul Aman FC pada awal musim lalu namun pasukan itu memilih untuk menandatangani Ronald Ngah Wanja sebagai pemain import.

Luciano Guaycochea pula merupakan pemain berusia 30 tahun dan berasal dari Argentina. Pemain ini beraksi di posisi tengah menyerang atau ‘attacking midfielder’. Guaycochea sangat sarat dengan pengalaman apabila beliau pernah beraksi di Turki, Argentina, Venezuela dan Bolivia.

Beliau kini beraksi untuk kelab Deportivo Oriente Petrolero yang berada di kasta pertama Liga Bolivia. Sehingga kini beliau sudah bermain dalam 14 perlawanan dan menjaringkan 3 gol. Beliau juga merupakan bekas pemain muda kelab gergasi Argentina, Boca Juniors.

Dan pemain import yang terakhir yang akan dicuba oleh pengendali Perak, Yusri Che Lah ialah pemain dari Nigeria berusia 22 tahun iaitu Sunday Kolawole Afolabi. Pemain ini merupakan pemain yang beraksi di posisi tengah bertahan atau ‘defensive midfielder’.

Beliau kini beraksi untuk kelab FK Viktoria Zizkov yang berada berpangkalan di Republick Czech. Sebelum ini beliau beraksi untuk MSK Puchov dalam Liga Divisyen Dua Slovakia dan telah diturunkan dalam enam perlawanan.

Ketiga-tiga pemain import ini akan diturunkan dalam satu perlawanan persahabatan menentang Christian Seoul University pada Ahad ini sebagai percubaan terakhir sebelum ditawarkan kontrak secara rasmi.